Kosong

 Hati aku banyak berceloteh tapi kenapa aku tak mampu luahkan melalui tulisan atau kata-kata ya.. Aku masih terngiang-ngiang ayat alang baru-baru ni yang mengatakan aku sedang tak happy. aku dah makin kurang bersosial dengan manusia malah skill bersosial aku juga mula memudar. aku tersentap dan jujurnya aku berasa sedih. kenapa ayat itu seolah-olah benar menggambarkan diri aku yang sekarang ya.. aku jadi dah makin tak pandai bercerita pada orang sekeliling selain suami aku. aku berasa kekok yang bersangatan dan berasa anxious sehingga takut nak bertentang mata ketika bercerita. seringkali juga suami aku menegur aku ini punya komunikasi yang jelek di saat kami sedang bertengkar (aku banyak diam setiap kali kami bergaduh) sedangkan dia mahu aku bercakap melontarkan rasa ketidakpuasan hati.

kenapa aku rasa sedih ye sekarang ni.. betul ke aku dah tak macam dulu? adakah aku telah hilang identiti diri aku? aku rasa selepas aku kahwin ni aku banyak sangat bergantung pada suami aku sehingga aku tak lagi mampu mandiri dan aku tak lagi kenal diri aku.

aku baru lepas habis pantang (hari ke-51). sejujurnya aku berasa emosi aku agak terganggu. kerana hari-hari aku dihabisi dengan anak 24/7. bukanlah aku mengeluh mempunyai anak cuma aku rasa penat. badan aku sakit2, tidur aku terganggu, rutin harian aku berterabur. salahkah untuk aku rasa penat? aku takut nak meluah pada suami aku sebab aku boleh expect jawapan dia. aku penat? dia juga penat kerja sehari-hari. padahal aku bukan nak membandingkan pun penat aku dengan penat dia. dia pernah cakap 'jangan cakap macam tu, kesian dekat anak' bila aku cakap penat jaga anak. invalid kah perasaan aku ni?

aku teringin sangat keluar tengok dunia dan cari diri aku semula. aku nak letak semua di belakang kejap. 

aku selalu tertanya-tanya, aku ni kenapa? kenapa aku bersikap macam tu.. kenapa aku cakap macam tu.. kenapa aku payah nak defend diri aku?

~~~~~~~~

tadi anak aku terjaga dari tidur. kalau ikutkan tadi shift aku jaga anak sampai jam 12.30 pagi. lepas aku tidurkan anak jam 10.30 mlm tu, aku lelap kejap sebab aku sakit kepala + badan aku rasa penat dan letih. aku tahu aku perlu bangun lagi andai anak terjaga dalam tempoh masa hingga 12.30 pagi ni. cuma allah izin, aku tak tersedar. aku dengar anak menangis cuma aku menanggapi oh mungkin dah lebih 12.30 pagi sebab nampak suami aku yang bangun handle anak. kemudian ada sekali tu, anak aku menangis kuat bersangatan sampai aku terjaga dari tidur. 

aku tengok jam, lah.. baru jam 12.15 ke.. kiranya dia terjaga dalam shift aku. aku minta suami aku angkat anak aku sebab dia menangis teresak-esak (suami aku tengah tukar pampers anak aku). lepastu suami aku lampias "takpa, tidur2. kata nak berjaga sampai 12.30. ni belum 12.30 pun lagi" dengan nada menyindir dan sangat sakit hati. eh dia ni kenapa.. aku balaslah, "lepastu, kenapa tak kejut?" wallahi aku langsung tak sedar. aku boleh je bangun kalau dia kejut aku. dia ingat aku nak lepas tangan. aku jadi geram dan aku balas lagi, "dahlah, tak payah berjaga. biar saya jaga sampai pagi. menyampah pulak rasa". dia pulak dengan nada menjengkelkan membalas, "okay". 

dia macam berkira sungguh dengan aku. ada je waktu2 yang sepatutnya shift dia tapi dia tertidur dan aku ambil alih. aku tak ada pula mengungkit pasal tu. ni bila terjadi baru sekali kat dia, terus dia tak puas hati dengan aku. ya allah, geram sungguh rasa. aku kalau nak mengungkit bab jaga anak pun boleh lah. tapi hati aku kuat berdoa supaya Allah ikhlaskan hati aku dan jadikan aku orang yang bersyukur.

Comments

Popular Posts